Navigation

Darjat Seorang Isteri

1)  Isteri Siddiqin
Isteri yang tidak akan meminta apa-apa dari suaminya sekalipun yang perlu (dharuri).Apa yang ada disediakan suaminya,dia akan terima dengan penuh malu dan bersyukur.Kalau ada,adalah.Kalau tidak ada ,dia bersabar.Tapi meminta tidak.Apatah lagi yang tidak perlu,kalau diberi pun dia tolak bahkan adakalanya yang perlu pun dia tolak dengan baik,dia lebih suka menolong suaminya.Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin.Golongan ini payah hendak di cari terutama di akhir zaman ini,macam hendak mencari belerang merah atau gagak putih.Ini adalah perempuan luar biasa.

2)  Isteri Muqarrobin
Isteri yang tidak meminta dari suaminya kecuali yang perlu sahaja.Yang tidak perlu dia tidak akan memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu,dia menolak dengan baik.Tapi kalau diperlukan pun tidak ada,dia tetap bersabar.Namun dia tidak akan mendesak suaminya.Dia tetap bersabar dengan keadaan itu.Golongan Muqarrobin juga susah hendak dicari di zaman kebendaan ini,di zaman orang memburu dunia,di zaman orang memandang dunia adalah segala-galanya.

3)  Isteri Solehin
Isteri yang meminta-minta  kepada suaminya yang perlu dan juga sekali-sekala meminta juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa sama ada dari segi makan minum,tempat tinggal,kenderaan.Namun kalau suaminya tidak memberi,dia tetap bersabar dan tidak pula menjadi masalah.

4)  Isteri Fasik
Isteri yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu tapi yang tidak perlu pun dia suka meminta juga.Kalau diberi pun dia tidak pernah puas-puas,tidak pernah rasa cukup,sudah mewah pun tidak rasa cukup.Kalau tidak diberi menjadi masalah,dia merungut-rungut,marah,sakit hati,merajuk hingga menjadi masalah dalam rumahtangga.Isteri ini selalu sahaja derhaka kepada suami apatah lagi Tuhan.

Semoga Allah menyatukan hati kita,menjadikan kita saling mencintai kerana Dia,sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi,Rasulullah SAW bersabda:

"Di sekitar Arsy ada menara-menara dari cahaya.Di dalamnya ada orang-orang yang berpakaian dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya.Mereka bukan para nabi atau syuhada'.Para nabi dan syuhada' iri hati kepada mereka.Ketika ditanya para sahabat,Rasulullah menjawab,"Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah,saling bersahabat kerana Allah dan saling berkunjung kerana Allah.

No comments: